Saturday, October 16, 2010

sembang - sembang

Sembang pertama

Kami bercerita tentang masa depan; nama bakal anak, ciri-ciri suami atau isteri pilihan, azam selepas berkahwin dan lain-lain lagi.

''Aku nak isteri hot dan alim'', kata seorang kawan aku.
Kemudiannya, aku menyampuk, ''Aku pun nak suami alim dan hensem (pada mata aku)''.

Siapa yang tak mahu pasangan yang baik, alim dan beriman. Semua orang mahu. Aku mahu, dia mahu, mereka mahu, kita semua mahu. Tapi, sila tepuk dada sendiri, adakah kita layak mendapat pasangan yang baik sedangkan diri kita sendiri masih berenang-renang dalam keseronokan dunia?

Allah berfirman, ''Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)

Allah dah berjanji kepada kita semua, pasangan kita iA baik jika kita sendiri baik. Persoalan seterusnya, bagaimanakah caranya untuk menjadi baik? Bagaimanakah seseorang itu dicop sebagai seorang yang baik? Adakah kita boleh melihat cop 'BAIK' di dahi sesetengah manusia? Pastinya cop 'BAIK' itu terletak pada tinggi budi pekerti, akhlak yang mulia, hati yang tidak busuk, patuh pada perintah Allah s.w.t dan yang paling penting, meninggalkan segala larangan-Nya.

Namun, bukanlah tujuan kita menjadi baik, semata-mata nak mendapatkan pasangan yang baik. Skop niat tersebut terlalu kecil, sebabnya kita perlu ingat apa sahaja yang kita buat dalam dunia ini, niat utama kita hanyalah semata-mata untuk Allah s.w.t.

“Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah. ''

Selalu dah kita mendengar takpun membaca tentang hadis 1 Imam Nawawi di atas, Allah s.w.t hanya akan memberikan apa yang kita mahu berdasarkan niat kita, tiada salahnya jika kita berniat untuk mendapatkan sesuatu balasan atas segala perbuatan kita, namun janganlah kita lupa tujuan pertama kita hanyalah untuk mendapat keberkatan dan rahmatNya.

Sembang kedua

Merokok. Satu isu yang boleh dikatakan agak kontroversi, baik dari konteks kesihatan, agama dan budaya. Aku rasa lebih daripada 50% perokok berazam untuk berhenti merokok, namun masih lagi merokok. Kempen anti merokok yang dijalankan di Malaysia, entahlah apa kesannya. Kawanku memberitahu, even model iklan kempen' Tak Nak?' adalah seorang perokok tegar.

Tipulah jika aku katakan, mahu berhenti merokok adalah semudah ABC. Aku pelajar medic, sudah pastinya tahu akan withdrawal symptoms yang akan dihadapi oleh perokok jika tidak merokok. Perkataan yang paling mudah, merokok itu addicting. Manakan tidak, pernah aku jumpa seorang mak cik tua yang sakit di hospital yang boleh menghisap rokok sehingga 60 batang sehari!

Aku pasti ramai budak lelaki yang merokok berazam untuk berhenti mencucuh sejurus sahaja lepas berkahwin. Itu satu azam yang bagus. Ya, sangat bagus. Tarikan 'External Force' iaitu sang isteri yang sangat kuat membantu si suami berhenti merokok. Selalu juga mendengar cerita sebegini. Tapi, bila difikirkan semula, berapa kerat lelaki dalam dunia ni yang merokok agak-agak 20 batang dalam sehari berhenti sejurus selepas akad nikah selesai (bagi can lah at least sebulan after nikah)?

Selagi tiada bala jatuh ke riba, selagi itu hembusan asap berkepul-kepul keluar dari mulut. Selagi tidak jatuh sakit, selagi itu kotak rokok di poket. Namun, ada lagi manusia yang masih tidak serik-serik, sakit setenat mana, rokok pasti terselit di jari.

Kesimpulan sembang 1 & 2

''Aku nak solat or puasa penuh/aku nak stop smoking/aku nak stop minum arak/aku nak pakai tudung/aku nak stop pakai sexy selepas aku kahwin inshaALLAH.''

Sekali lagi aku katakan, azam yang sangat bagus. Tapi, siapa kita yang ada kuasa untuk tentukan panjang mana hayat kita? Maknanya, jika kita tidak berkahwin hingga tua adakah bermakna kita akan melakukan dosa sehingga tua, mengumpul dosa sehingga tinggi mengalahkan gunung Everest? Naudzubillah min dzalik, apa pula jika umur kita dengan takdir Allah dipendekkan, tak sempat melangkah ke alam perkahwinan? Maut yang datang sebelum kita sempat berubah, berubah menjadi baik. Alangkah sedihnya.

Perubahan. Perubahan diri sememangnya memerlukan kekuatan dalaman dan luaran. Internal dan external force. Perubahan bukanlah sesuatu benda yang boleh berlaku sepantas kilat (mungkin boleh dengan izin Allah). Sedangkan, Rome bukan dibina dalam masa sehari. Perubahan sedikit demi sedikit dan berterusan adalah lebih baik dari perubahan yang drastik namun sustainability level yang rendah. Pernah dengar perkataan futur? Futur dalam bahasa ringkasnya, berhenti atau kurang dari melakukan sesuatu yang baik yakni ibadah akibat hilang semangat.

“Setiap amal itu ada masa semangat dan masa lemahnya. Barangsiapa yang pada masa lemahnya ia tetap dalam sunnah (petunjuk) ku, maka dia telah beruntung. Namun barangsiapa yang beralih kepada selain itu, berarti dia telah celaka.” (Musnad Imam Ahmad, 2/158-188)

Manusia, pasti ada ups and downs nya. Namun, jangan biarkan jatuhnya semangat kita menjauhkan diri kita dari Allah s.w.t. Takutnya aku jika mendapat kecelakaan dari Allah. Takutnya lagi jika Allah akan lalaikan kita di dunia ini, dan pang! semua balasan diberikan di akhirat kelak. Takut sangat, takut sangat-sangat!

Penutup

Aku tahu, diri aku sendiri masih merangkak-rangkak dan berusaha sedaya upaya untuk berubah. Aku tak mahu perubahan diri semata-mata hanya untuk orang lain, tapi untuk kesenangan diri aku sendiri. Supaya hidup aku diberkati Allah. Aku tidak mahu berubah hanya kerana ingin berpura-pura menjadi baik, supaya orang lain memandang tinggi pada diri kita atau sekadar nak memuaskan hati orang lain.

Kekuatan untuk berubah sememangnya datang dari Allah s..w.t, tapi kita perlu tahu pemikiran kita, perbuatan kita percakapan kita dan orang sekeliling adalah antara faktor-faktor yang mendorong kita berubah.

Jom kita mulakan usaha kita sikit-sikit dan berterusan. Kita nak mantain dan juga increase the output! Kalau merokok sekarang ini sehari 15 batang, cubalah kurangkan 10 batang. Kalau sekarang baju atas punggung, mungkin selepas ini kita pakai baju paras punggung dahulu.

Tak perlu tergopoh gapah, satu langkah pada satu masa, tapi yang pastinya teruskan melangkah, jangan sesekali berhenti.

****

The Ins And Outs Of Ups And Downs.com



http://www.facebook.com/note.php?note_id=146388252047868

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...